Pagi tadi Anas sampai rumah. Dia sengaja tak mahu naik bas. Nak rasa keretaapi kelas dua. Dia cuti hingga 6 Februari. Tengahari Wah pula balik. Juga cuti seminggu. Semua lectures cancelled.
Petang, Anis sekeluarga sampai. Dia cuti sampai hari Isnin. Malam, lepas isya^, Farid sekeluarga akan sampai. Belum tahu dia cuti sampai bila. Fawzan, walaupun dekat, belum tahu sama ada balik ataupun tidak. Sama ada cuti ataupun tidak. Kalau Fawzan juga balik bererti semua anak berada di rumah pada hari minggu besok. Macam nak sambut raya Fitri pulak.
Pukul 10.00 pagi ke pasar besar Klang. Beli pokok parsley RM4.00, pokok ketumbar RM6.00, karret RM4.00, plum RM10.00 dan durian belanda RM19.00. Wau, berbelanja sakan pagi tadi.
Tengahari, sampai di rumah. Minum dan makan roti bakar sekeping. Kemudian ke kedai kayu beli sekeping papan berukuran 10 kaki panjang. Dipotong dua jadi dua keping. Lima kaki setiap keping. Ewaaah, nampak macam tak selari dengan barang-barang yang dibeli sebelah pagi.
Pokok parsley dan pokok ketumbar direbus. Jadi minuman harian untuk dua minggu. Karret nak dijadikan pure juice. Baik untuk mata dan buah pinggang. Plum, isinya untuk dimakan dan bijinya (7 butir) untuk disemai dan ditanam di kebun.
Durian belanda untuk dijadikan minuman, baik untuk elakkan kolesterol jahat. Bijinya, kira-kira 120 butir, nak disemai dan ditanam dikebun. Manakala kepingan papan pula untuk dijadikan rak barang-barang semaian.
Huh, semua dah ada nawaitu. Maka sahlah segala amalan hari ini.
Malam tadi sakit gigi. Berbaring dan tidur di ruang tamu sahaja. Tengahmalam, saya teringat Malaikat-Maut. Dia umpama angin, macam sinaran dan seperti kegelapan. Berada setiap ketika dan di mana sahaja. Menyeluruh di segenap ruang dan tempat.
Tiba-tiba satu penampar hinggap di pergelangan tangan kiri. Sekor nyamuk kecil terbunuh dan lumat. Hmmm, sah Malaikat-Maut ada berhampiran. Tap, sekor lagi nyamuk maut dan hancus. Lagi bukti adanya Malaikat-Maut.
Kemudian, saya tertidur. Sedar-sedar waktu subuh menjelma. SAKIT-GIGI sudah tiada. Saya yakin Malaikat-Syifa^ juga ada berhampiran. Saya tidak tahu nasib si SAKIT-GIGI. Apa yang berlaku ke atasnya.
Saya mengerti bahawa para malaikat bergerak dalam satu kumpulan lengkap. Masing-masing setia kepada Allah dan patuh kepada tugas masing-masing.
Begitulah peristiwa real Bersama Tentera Allah. اللهم احيني بالإيمان وأمتنى فيه واحشرنى معه
Petang semalam ke ACE cari benih peria katak dan benih parsley. Tak ada. Dah habis. Beli sekor siakap untuk dikukus.
Tadi, sepagian berehat. Sakit gigi. Memang tersiksa bila gigi sakit. Tengahari ke Giant di Shah Alam. Beli dua paket benih parsley. Benih peria katak, tak ada.
Sampai di rumah semai sedikit benih parsley. Gigi masih sakit. Masih tak selesa. Tidur sepanjang petang.
Tunggu, kalau tak baik, hmmmm, faham aje laaahhhh.
Pada 19, 20, 21 dan 22 Januari, banyak aktiviti berulang. Dalam dunia falsafah sesuatu yang berulang juga suatu proses. Hm, ini hal rumit terlalu akademik.
Antara yang berulang ialah petang 19 haribulan, blogger ISA dan saya bertemu. Petang 20 haribulan kami berjanjitemu dan lepak. Petang 21 haribulan saya balik kampung. Dan petang 22 haribulan sekali lagi saya balik kampung.
Bukankah itu aktiviti berulang? Kenapa berulang? Tentu ada sesuatu? Apakah sesuatu itu?
Selasa. Berehat di rumah tanpa ke mana-mana. Ada mengubah 10 anak pohon kiwi ke pasu kecil yang-lebih-besar.
Seperti biasa, tidur dan selang-seli dengan merayau ke alam maya. Lama juga merayau dalam facebook. Terjumpa gambar Anis dan rakannya buat kerja. Tak tahu kat hospital mana. Sebab dia selalu sangat ke hospital-hospital lain, sampai Sabah dan Sarawak. Entah-entah di Australia. Malas nak tanya.
Malam ni, rasa dah cukup rehat dan dah cukup sihat. Kebetulan, siang tadi isteri balik kampung dan dapat 33 biji benih kacang kelisa. Fikir-fikir, besok nak rendam 4 biji dan ditanam dalam 2 pasu di depan rumah. Cantik dan jadi perhiasan. Bila berbuah, hmm, berkhasiat tu. Daripada mata berulamkan bunga, lebih baik mulut berulamkan kacang kelisa. Ai em sori ...!!!
Petang Sabtu mulai batuk-batuk. Malam Ahad batuk kuat. Ahad siang dan malam Isnin demam penuh. Terpaksa ambil sedikit ubat batuk. Hari Isnin mulai sembuh tetapi kena rehat sepenuh masa.
Malam ini dah tak tahan. Merayap di alam maya. Cari berbagai maklumat mengenai pertanian pohoh kiwi.
Petang semalam hujan lebat. Angin kencang, kilat sabung menyabung dan petir sungguh menggerunkan. Hari ini, hujan lagi. Tapi tak selebat semalam.
Saya tak ke mana-mana. Lepak depan rumah sahaja. Isteri pula demam sepanjang hari. Lepas asar baru dia bangun. Hampir maghrib kami ke Kampus Puncak Alam ambil Fauzan. Lepas tu ke kedai tabib Cina beli kembang semangkuk. Wau, mahalnya. 100 gram, RM12.50 sen.
Malam ni nak minum air rebusan daun sup. Kemudian minum pula air kembang semangkuk bercampur biji selasih. Ha ha, orang muda yang kurang motivasi atau lemah wawasan, elok ikut petua pakcik ni.
Malam ini merayau di alam maya. Tiba-tiba teringat buah peria. Terutama peria katak. Dah lama tak makan. Jadi, besok, cadang nak ke pasar cari buah peria dan biji benihnya. Buah untuk dimakan dan benihnya untuk disemai.
Hari ini hanya sempat menyemai benih pokok Epal Fuji. Tengahari, tinjau kebun yang telah dijual di Jeram. Ambil beberapa perkakas kebun dan bawa balik. Petang, tinjau pemandangan di hujung Bukit Kerayung.
Hari ini cukup letih. Sepenuh hari buat macam-macam kerja. Termasuk meremajakan 13 pohon anggur yang berusia lima bulan (lihat gambar).
Petang besok atau lusa pohon-pohon itu akan disembur dengan racun anti-kulat. Dua atau tiga petang kemudian akan disembur dengan berbagai hormon dicampur dengan vitamins dan traces.
Insya Allah, dalam minggu ketiga pohon-pohon itu akan bertunas dan dalam minggu kelima akan berbunga. Ha ha, kerja letih tapi menggumbirakan.
Semalam, Rabu, dan hari ini, Khamis, memang sibuk. Sibuk dengan hal-hal pertanian. Macam-macam kerja dilakukan. Memindahkan semaian pokok petola dan pokok cili ke dalam beg plastik belum siap lagi.
Asyik memproses benih-benih anggur Red Globe dan Calmeria lupa ziarah makcik di hospital. Petang tadi makcik dah keluar wad.
Besok, lusa dan hari-hari seterusnya masih banyak urusan yang perlu dilaksanakan. Pada hal kerja-kerja itu hanya di depan rumah sahaja. Dalam pasu sahaja. Pada keluasan sekangkang kera sahaja.
Saya terfikir, kenapa ramai orang terpaksa lepak dan menganggur kerana tak ada kerja yang boleh dilakukan?
Beberapa rakan, termasuk bloggers, telah mencuba. Setakat ini semua kata very good results. Saya? Inilah minuman harian saya sekarang. Ada macam-macam best ooooo ...!!!
Semalam, Ahad, hantar Anas ke MCKK. Di sana, terpaksa tunggu beberapa jam kerana waktu pendaftaran mulai jam 12.00 tengahari. Alhamdulillah dapat jadi orang pertama mendaftar dalam kumpulan.
Semasa pergi melalu highway Plus. Semasa balik melalui jalan kampung menyusur Setiawan. Ada kawan berpendapat, itu jalan dekat. Tapi, bila dihitung km dan waktu, itu jalan jauh. Ada berbagai peristiwa dalam perjalanan pergi dan balik.
Sampai di Mesjid Simpang Lima, Sg. Besar, berhenti solat jama^ dan qasar. Suatu hadiah dari Allah. Kalau tak mahu terima, bererti sombong dan bongkak terhadapNYA. Saya terfikir betapa besar dan berapa banyak pahala ahli qariah mesjid itu. Setiap kali berhenti di situ ramai tetamu yang datang. Umumnya para musafir bersolat dan mungkin ada juga sekadar berehat atau berurusan lain.
Suatu ketika dulu, khabarnya, mesjid itu berkunci. Sekarang, semua pintu dibuka seluas-luasnya. Pengurusan mesjid yang baru tentu faham bahawa mesjid ibarat rumah Allah. Sesiapa boleh datang dan boleh masuk. Yang berhadath besar boleh masuk dan yang belum-muslim pun boleh masuk. Itu cara sunnah, kecuali yang tidak mengerti atau silap mazhab. Rasulullah mazhab apa?
Hari ini, Isnin. Kerja sepenuh masa mengubah semula anak pohon kiwi. Alhamdulillah, yang diubah kali pertama dulu hidup dan stabil. 100 peratus.