Amalan Salah Menyambut Raya
>> 9.10.08
Beberapa hari lagi hariraya menjelang tiba. Kebanyakan orang Islam di Malaysia membuat pelbagai persiapan untuk diri, keluarga dan rumah-tangga. Pakaian-pakaian, makanan-makanan, minuman-minuman dan perhiasan-perhiasan rumah. Tidak ketinggalan menyediakan sampul-sampul dan duit-duit raya untuk kanak-kanak. Mungkin ramai yang berbelanja secara luar-biasa kerana MENYAMBUT HARIRAYA. Mereka yang begini termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat, ustaz-ustaz dan tokoh-tokoh agama.
Mereka bermewah-mewah dan berluar-biasa di hari-raya. Mereka sebenarnya sudah lupa atau tidak faham maksud BERPUASA dan hikmah BERHARI-RAYA. Mereka tidak bersikap qana'ah dan jauh dari amalan zuhud yang terpuji. Mereka melanggar makna hari-raya iaitu hari-raya untuk golongan faqir dan miskin
(عيد الفقراء والمساكين)
(Raya golongan tidak mampu dan tidak berada).
Sikap kebanyakan orang Islam (di Malaysia) berhari-raya begini ialah mengabaikan golongan faqir dan miskin serta menyinggung golongan yang tidak mampu. Malah memilukan lagi perasaan golongan tidak berada. Sikap begini menyebabkan musnah maksud BERPUASA Ramadhan, hancur hikmah BERHARI-RAYA. Hilang makna ZAKAT FITRAH dan tidak berjiwa PUASA-ENAM. Semua jadi lagha dan tiada kesan positif terhadap diri, keluarga dan masyarakat.
Sikap menyedia dan memberi duit raya juga amat buruk kesannya. Perhatikan dan dengarkan cakap-cakap, bisik-bisik dan perbualan kanak-kanak mengenai duit raya si anu dan duit raya si polan. Sikap kanak-kanak berhari-raya kini lebih bertujuan mengutip duit dari berziarah silatul-rahim. Seolah-olah meminta sedekah secara senyap dan terhormat. Didikan bid'ah ini merosakkan jiwa kanak-kanak. Melatih mereka ke arah DUIT. Hidup kerana DUIT dan untuk DUIT. Ibadat dapat DUIT, ziarah dapat DUIT dan bermasyarakat demi duit.
Fikir-fikirkanlah.
0 comments:
Post a Comment